Saturday, November 01, 2008

Cerpen minggu ini

Tulis sebuah karangan yang bertajuk 'Mega mendung berarak lalu, mengintai pandang bulan yang satu'. Panjang karangan anda haruslah tidak kurang dari 450 patah perkataan dan tidak melebihi kesabaran pemeriksa untuk menandanya. Kalau kau rasa nak tulis novel hantar kat Berita Harian la woii.

Aku memusing badanku ke kiri dan ke kanan, namun tak mampu jua aku melelapkan mata selepas bangun bermunajat kepada yang Esa di subuh yang hening ini. Sehinggalah dapat ku dengar bunyi burung-burung berkicauan di luar barulah aku nekad untuk bangun dari katil dan menyiapkan diri untuk bersarapan di kedai mamak berhampiran. 'Nak sarap kat mana hari ni ek? Spice Garden? SA? Tanjung? MMZ?' tanya hati kecilku. Semuanya mamak-mamak belaka.

Bapak kata dia tidak mahu ke SA kerana servisnya yang lembap seperti kura-kura. Along pula tidak mahu ke Tanjung kerana dia berpendapat makanan di situ kurang enak. Nazmi pula tidak mahu ke MMZ kerana jaraknya yang agak jauh dan dia hendak mengejar rancangan di peti televisyen pada pagi ini. Ikutkan hati mahu saja aku berlawak dengan mengatakan aku enggan ke Spice Garden, namun aku dapat merasakan lawak itu begitu kejam sekali di pagi yang hening ini memandangkan perut masing-masing sudahpun membuaikan lagu 'Ada Untukmu' dendangan Nubhan.

Selepas pulang dari mentakedarah sepinggan roti sardin di Spice Garden, aku pun mula bersiap untuk keluar bersama dua orang sahabat dari tempat kerjaku, Rizal dan Razwan, atau kalau mengikut nama timangan nakal Kak Nadhilah Pot Pet, R&R. Selepas mengisi penuh tangki kereta dan tangki perutku, aku pun bertolak ke Seksyen 9 untuk mengambil Razwan. Kami terus ke stesen LRT Kelana Jaya untuk mengambil Rizal pula. Selepas setengah jam menunggu beliau, akhirnya Rizal yang barangkali tidak memahami konsep masa pun tiba.

Kami ke pusat sebuah pusat membeli-belah yang terkenal di Kuala Lumpur yang lebih dikenali dengan nama jolokan OU untuk One Utama. Andaikata seseorang yang tidak pernah mendengar singkatan ini pasti akan terkeliru dengan singkatan UO untuk Uda Ocean, sebuah lagi pusat membeli-belah yang tidak asing lagi buat warga kota. Tujuan kami ke sana adalah untuk menonton wayang, dan bukannya membuat wayang. Pada hematku, seandainya kami ingin membuat wayang pun kami tidak mampu kerana kami kekurangan watak wanita. Setelah berbincang secara rasional, kami mengambil keputusan untuk menonton Max Payne.

Setelah dikecewakan dengan kesudahan cerita tersebut, kami ke Coffee Bean untuk menikmati santapan ringan sebelum melantak di sebuah rumah terbuka. Kami berbual sambil berkongsi kisah kehidupan kami bekerja sehari-harian sebagai juruaudit. Banyak cerita suka-duka warna-warni kehidupan yang kami kongsi bersama. Sedikit sebanyak ia dapat meringankan tekanan selepas penat membanting tulang di sawah, maksudku di pejabat.

Selepas itu kami bergerak ke stesen Komuter Batu Tiga untuk mengambil Nabihah dan Fatma sebelum langsung ke rumah terbuka anjuran Aida di Seksyen 13. Di sana, kami terserempak dengan rakan-rakan sekerja yang lain seperti Kak Nadhilah Pot Pet, Adilah, Safwan serta Amalia. Selepas berbual bersama teman-teman sementelahan menikmati 13 cucuk satay, 5 ketul nasi impit, 7 gulung roti jala, 2 gelas air sirap dan beberapa genggam kacang, kami pun dibawa melawat rumah yang didiami Aida. Selesai semua perkara kami meminta izin untuk pulang.

Aku menghantar Razwan terlebih dahulu kerana rumahnya tidak jauh dari situ. Ingin sahaja ku singgah di rumah Laila yang berhampiran rumah Razwan, untuk membayar saman tetapi hari sudah pun menggarit senja, lalu aku ke USJ untuk menghantar Rizal. Dalam perjalanan, kami pun menjalankan hobi kami. Aku dan Rizal juga berkongsi hobi bersama Jep, Fifi, Laila, Syina, Mayamin, Tia, Kak Nadh Pot Pet, Amalia dan Irda, walaupun kami tak pernah melakukan aktiviti hobi ini bersama.

Sedang asyik aku menjalankan hobiku di dalam kereta terdengan bunyi 'GEDEGANGGANGGANG'. Ku toleh ke kiri keretaku, aku terlihat seorang lelaki sedang melungsur laju di atas bitumen jalan raya.

Dengan perasaan terkejut dan takut aku pun memberanikan diri untuk keluar dari kereta dan bergegas ke arah lelaki berkenaan. Beliau menggagahkan diri untuk bangun sementara aku menggigihkan diri untuk mengangkat motornya yang seberat seekor anak ikan paus itu. Sebagai seorang manusia, soalan pertamaku kepadanya ialah "Awak tak apa-apa?". Malangnya beliau telah melanggar kereta seorang juruaudit, lalu soalan keduaku pula berbunyi "Ni macam mana nak bayar ni?".

Beliau memohon keampunan dariku dan memintaku untuk melepaskannya. Alasan yang diberikannya mengingatkan aku kepada lagu iklan untuk ubat batuk yang tidak asing lagi yang berbunyi 'Kisah seorang anak yang duka nestapa kerana ibunya sakit. Kasihan sungguh beliau aksiden pula'. Pada mulanya ingin sahajaku lepaskannya kerana rasa belas simpati. Tetapi melihatkan bumperku yang koyak, pintuku yang kemek, lampuku yang pecah dan tayarku yang meletup, aku menuntut 300 ringgit darinya. Beliau bersetuju dan aku pun menggagahkan keretaku dengan hanya tiga tayar untuk ke Petronas USJ 2 bagi membolehkannya mengeluarkan wang.

Sementara beliau mencucuk mesin juruwang automatik, aku menelefon bapak untuk memberitahunya tentang fenomena ini. Beliau terus menelefon mekanik keluargaku di Subang Jaya untuk memberi anggaran kos pembaikpulihan keretaku. Setelah aku memberitahu insan yang menyusahkan hidupku akan kedatangan mekanik itu, beliau juga menelefon sepupunya yang diam berhampiran. Mekanikku membelek-belek bumperku, pintuku, lampuku, tayarku dan rim tayarku yang sememangnya sudah kemek sebelum itu. 'Wa ingat aa ini mau satu libu woo. Ini mau kena cat balik woo. Cat manyak mahal punya, nampak saja mulah tapi mahal woo' kata mekanikku sambil sempat menghina cat keretaku yang rupanya kelihatan murah sahaja.

Akhirnya bapaku tiba bersama abangku. Kami menunggu pula ketibaan bapa kepada insan itu. Sementara itu, Rizal pula pulang ke rumah makciknya setelah diambil oleh adiknya meninggalkan aku terkapai-kapai. Akhirnya bapa insan tersebut pun tiba menaiki motor dari Cheras. Setelah berbincang bersama bapak, akhirnya beliau bersetuju untuk menanggung ganti rugi sehingga 500 ringgit. Wang pun bertukar tangan, dan kami pulang ke rumah sebelum keluar makan malam di Ace Cafe di Taman Tun Dr Ismail Jaya.

Sekian. Wassalam

7 comments:

LeLa BeSt said...

oi ko nk kutuk2 umah aku plakk.. ko nk bayar saman aku amik jer..!! aku tuntut nti nih kim!!

Anonymous said...

cpt la sambung kimi

Anonymous said...

hakimi kamu sihat? kau ok tak lepas eksiden tu? Biar kereta rosak dari kau rosak.

penglipurlapar said...

lela,
marah nampak? mana ada kutuk, cuma bergurau mesra je

peminat,
nak cepat sambung sendiri la

konfembukantulen,
kereta aku tak rosak. akhlak aku pun tak rosak.

Anonymous said...

watak kegemarana aku adlh mekanik ko... menghidupkan suasana btol watak tuh...

Millie said...

aku plak paling ske watak nama amalia tu. ahaha.

penglipurlapar said...

albab

dia je ade dialog dlm citer ni

mili

eeeee vain